Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Selangor masih terbuka untuk berbincang soal pembahagian kerusi di Selangor.
Beliau berkata telah bercakap dengan Pengerusi BERSATU Selangor Datuk Abdul Rashid Asari semalam, selepas parti itu dilaporkan tidak mengiktiraf persetujuan yang dicapai dalam rundingan pada 7 Februari lalu.
"Saya yakin proses ini akan diselesaikan. Saya sudah bercakap dengan Abdul Rashid semalam dan saya ingin mengatakan BERSATU akan terus berbincang.
"Saya percaya Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor akan meneruskan proses ini dan insyaAllah akan menyelesaikannya tak lama lagi," katanya ketika ditemui pemberita selepas sembahyang Jumaat di Masjid Ukay Perdana, Ampang, hari ini.