Sehingga 2022, Malaysia memiliki 20 Universiti Awam (atau institut pengajian tinggi awam - IPTA) yang diletakkan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi. Universiti awam ialah universiti yang banyak dibiayai secara awam melalui kerajaan negara atau setempat. Universiti kebangsaan lazimnya merupakan universiti awam. Di sesetengah tempat, institut awam merupakan pusat penyelidikan terkemuka dan berpengaruh; banyak di antaranya diletakkan setanding dengan universiti terbaik di dunia oleh THES - QS World University Rankings dan Academic Ranking of World Universities.
Kategori Universiti Awam
Sistem pengajian tinggi dibentuk untuk memastikan bahawa Universiti Awam (UA) berupaya dalam usaha membina reputasi dengan keupayaan yang dinamik, berdaya saing selain mampu meramalkan cabaran masa hadapan dan bersedia untuk bertindak secara berkesan seiring dengan perkembangan global. Usaha meningkatkan keupayaan UA akan terus dilakukan untuk melaksanakan fungsi dan tanggungjawabnya dengan lebih cekap, telus dan berkesan ke arah mewujudkan sistem pengajian tinggi yang cemerlang.
Selaras dengan matlamat tersebut, UA di Malaysia dikategorikan kepada tiga (3) kumpulan, iaitu Universiti Penyelidikan, Universiti Komprehensif dan Universiti Berfokus (teknikal, pendidikan, pengurusan dan pertahanan). Sehingga kini, terdapat 20 buah UA di negara ini yang terdiri daripada lima (5) Universiti Penyelidikan, empat (4) Universiti Komprehensif dan sebelas (11) Universiti Berfokus.
Universiti Penyelidikan memberikan tumpuan kepada bidang penyelidikan, sementara Universiti Komprehensif menawarkan pelbagai kursus dan bidang pengajian, manakala Universiti Berfokus pula memberikan tumpuan kepada bidang khusus berkaitan dengan penubuhannya.
sumber: https://www.mohe.gov.my/institusi/uni...