𝗙𝗲𝗻𝗼𝗺𝗲𝗻𝗮 𝗔𝗴𝗮𝗺𝗮𝘄𝗮𝗻 𝗕𝗲𝗿𝗯𝗮𝗵𝗮𝘀𝗮 𝗞𝗲𝘀𝗮𝘁 𝗗𝗮𝗹𝗮𝗺 𝗖𝗲𝗿𝗮𝗺𝗮𝗵
Sungguh menghairankan apabila orang-orang agama berusaha keras untuk menjustifikasikan bahasa kasar dan kesat di dalam ceramah dengan alasan ini adalah bahasa biasa di daerah di mana kami berada, dan di negeri di mana kami berasal. Tradisi keilmuan ulama kita di Tanah Melayu di Nusantara, bukan perkara baru. Namun dahulukala, kita tidak jumpa masyaikh dan tok-tok guru kita menggunakan bahasa-bahasa demikian dalam ucapan ataupun tulisan mereka. Mereka tidak menggunakan bahasa kesat ketika menyampaikan agama.
Sesuatu yang mungkin orang ramai kurang faham kerana tidak mengalaminya ialah ujian di meja penceramah. Apabila kita duduk di meja ceramah, bermulalah satu ujian yang besar. Mungkin di peringkat amatur orang ramai berkata, “oh ini geng-geng ‘ustaz sampul’ belaka!” Masyarakat menganggap ustaz atau penceramah itu mahu menjaga kedudukannya berdasarkan kepada lumayannya sagu hati yang diberikan di dalam sampul tadi.
Tetapi di satu peringkat, wang bukan menjadi tarikan utamanya lagi. Bukan itu yang menarik perhatian dan mendatangkan lebih kepuasan kepada penceramah. Sebaliknya, apa yang lebih menguji malah beracun iaitu sokongan orang ramai. Orang angguk dengan pendapat kita. Orang ketawa dengan gurauan kita.
Kalau kita buat lawak, beratus-ratus malah beribu orang gelak, ‘feeling‘ ketika itu, masya Allah! Kalau kita cakap satu benda yang betul, beribu orang mengangguk kerana bersetuju dengan benda yang kita cakap, ujiannya sangat mendalam.
Saya yakin ramai yang tidak pernah kenal dan sudah lupa tentang siapa saya untuk mengulas hal ini.
“Siapa beliau nak cakap tentang hal ini?”
Saya tidaklah sepopular nama-nama besar yang ada hari ini. Tetapi serba sedikit, sekurang-kurangnya saya pernah berada di dalam situasi itu. Di pentas ceramah, di kaca tv saban waktu, poster dan banner di sana sini, berceramah keliling dunia, Allah rezekikan sedikit untuk berada di dalam situasi berkenaan.
Hakikatnya, setiap kita yang duduk di meja ceramah, kita diuji dengan ujian-ujian khusus untuk orang agama.
Tanggungjawab yang besar ke atas orang-orang agama, ustaz dan ustazah penceramah ini, untuk mengakhlakkan hadirin.
Antaranya adalah dengan menjaga tutur kata dan bahasa masing-masing. Jangan normalisasikan akhlak mazmumah, endorse benda-benda yang salah, walaupun ia menguntungkan kita.
Apabila saya menulis buku pertama ‘Aku Terima Nikahnya’ pada tahun 2008 dahulu, saya ingatkan diri bahawa apabila kita menulis buku, jangan gunakan pendekatan yang menyebabkan orang puja dan taksub dengan kita. Apabila orang ramai baca buku itu, buku itu memperkasa diri mereka dengan ilmu yang diperolehi lalu mereka boleh berkembang sendiri. Kita bukan bertujuan mengumpul orang mengelilingi kita. Kita mahu kumpulkan orang ramai kepada agama Allah ﷻ.
Sesungguhnya, bukan mudah untuk ikhlas dalam menyampaikan agama.
Tidak kiralah ustaz kampung ke, ustaz bandar ke, mufti ke, masyaikh ke, semuanya diuji dengan ujian yang sama.
Sokongan kepada orang agama boleh menjadi bak kata pepatah Melayu, sokong membawa rebah.
Jika benar-benar sayang dengan tokoh guru masing-masing, ikutlah benda baik yang diajar. Dan kalau ada pula yang buat silap, maka ingatkan, tegurkan, betulkan.
Daripada Anas r.a, Rasulullah ﷺ bersabda: “Bantulah saudaramu yang zalim, atau dizalimi!” Mereka bertanya, “wahai Rasulullah, saudara kami yang dizalimi ini jelas kami membantunya. Tetapi bagaimana pula dengan saudara kami yang zalim? Bagaimana membantunya?” Baginda menjawab, “engkau halang dia daripada melakukan kezaliman itu dengan upayamu!”
[Hadith riwayat al-Bukhari : 2444]
Tolong saudara kamu yang zalim atau dizalimi. Kalau yang dizalimi itu jelas kena tolong, tapi yang zalim itu, bagaimana kita menolongnya? Halang dia, hentikan dia daripada meneruskan kezaliman.
Percubaan menjustifikasikan bahasa kesat dalam ceramah agama adalah perbuatan zalim. Ia bercanggah dengan semangat agama yang disebutkan di dalam hadis Nabi ﷺ :
Daripada Malik, telah sampai kepada beliau bahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda: aku telah diutus untuk menyempurnakan keelokan akhlak.
[Hadith riwayat Malik Kitab 47, Hadith 8]
Apatah lagi di tahun 2023, 2024 ini, penceramah popular semuanya tahu yang ceramah mereka dirakam dan akan disiar di Youtube, TikTok, dan pelbagai medium sosial media semasa. Maka bertambah lagilah tanggungjawab masing-masing berbahasa dengan bahasa yang sejahtera untuk semua orang yang mendengar.
Sama ada yang menonton atau mendengar itu datang dari daerah kita, negeri kita, negara kita, mahu pun di tempat-tempat lain di serata dunia.
Malah juga selepas kita mati, semasa kita sudah tidak ada peluang untuk membetulkan kesilapan yang amat jelas ini.
Bertakwalah kepada Allah, setiap yang duduk di meja dan pentas ceramah ummah.
Artikel penuh di:
https://saifulislam.com/2024/01/fenom...